Wednesday, 28 February 2018

DARI FINGERPRINT TERUS KE HATI

Dari Fingerprint Terus Ke Hati

Oleh: ….

 

Bab 1: Hari Pertama

 

Bunyi loceng pintu pejabat memecah kesunyian. Hatiku berdetak pantas. Keringat peluh sudah mula membasahi tapak tangan. Hari ini hari pertama aku memulakan latihan industri di sebuah syarikat pembinaan. Suasana pagi itu sangat tenang, sampaikan aku boleh mendengar rentak degupan jantung aku sendiri. Kuat dan rancak.

Mataku dapat menangkap beberapa figura lelaki turut menunggu di dalam satu ruangan yang sama. Jam sudah pun menunjukkan 8:30 pagi.

“Menunggu giliran untuk ditemu duga mungkin.” Tebak hati kecilku.

Sedang ralit aku memerhati sekeliling, datang seorang wanita separuh abad memanggil aku.

"Cik Alia..."

"Ya saya." Aku menyahut dengan tenang, menyembunyikan gementar yang berombak dalam hati. Dan terus aku membuntuti wanita tersebut.

Itulah aku. Alia Nadira. Mahasiswi semester akhir jurusan Perbankan Islam dan Kewangan. Latihan industri ini adalah langkah terakhir sebelum menggenggam segulung diploma.

Aku terus dibawa ke tingkat atas. Pejabat tiga tingkat itu tampak sederhana, tapi dekorasi minimalisnya cukup memikat jiwa. Syarikat ini tidaklah sebesar syarikat-syarikat ternama. Jumlah pekerjanya juga tidak melebihi 200 orang. Aku diperkenalkan kepada kakitangan Jabatan Kewangan, dan diberi meja sementara menggantikan staf yang sedang bercuti bersalin.

Aku diarah untuk duduk di meja sementara mereka fikirkan kerja yang boleh diberikan padaku. Bagi menghilangkan rasa bosan yang mulai timbul, aku belek dokumen penting latihan industry aku. Tidak lama kemudian,

"Alia, ini Datin Sharifah. Beliau adalah pemilik syarikat ini," ujar salah seorang pekerja di situ.

"Assalamualaikum Datin," kataku sambil mengukir senyuman dan menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Waalaikumsalam," balasnya mesra.

Debar di dada makin kuat. Aku tidak sangka pemilik syarikat ini seorang wanita. Entah kenapa, aku rasa lega. Mungkin komunikasi akan jadi lebih mudah fikirku.

 

Bab 2: Abang Thumbprint

 

Beberapa hari berlalu. Suasana pejabat tidak terlalu sibuk, namun setiap hari memberikan pengalaman baru. Semua staf di sini sangat membantu, membuatkan aku rasa lebih cepat menyesuaikan diri.

"Alia, bos minta buat thumbprint kat tingkat bawah sekarang," kata Kak Fasha.

"Okay, kak." Dengan pantas aku terus melangkah ke tingkat bawah.

Sebaik tiba, aku disapa seorang lelaki.

"Nak buat thumbprint, kan? Mari sini."

Aku tergamam sejenak.

"Ya... saya."

Hatiku mula berlagu aneh. Siapa dia? Kenapa tak pernah nampak dia sebelum ni? Kening dia... tebal, comel macam Shin Chan. Senyuman dia pun manis. Serius, dia lain.

"Dah siap. Nanti cuba boleh tak scan kat luar bangunan untuk masuk pejabat," katanya tenang.

Aku hanya mampu mengangguk dan senyum tipis.

Sejak dari itu, aku menggelarkan jejaka "Abang Thumbprint". Tak tahu kenapa. Mungkin sebab itulah kali pertama aku nampak dia, masa aku nak buat thumbprint. Sejak itu juga, hati aku mula bermain perasaan.

 

Bab 3: Siapa Dia Sebenarnya?

 

Dua minggu telah berlalu. Sehingga kini, aku tidak tahu butiran jejaka itu. Aku nampak dia beberapa kali, tapi terlalu segan untuk tanyakan. Setelah kumpulkan keberanian yang ada, aku tanya pada Kak Fasha yang kebetulan lalu

"Kak Fasha, nak tanya... siapa sebenarnya abang yang uruskan thumbprint tu ya?"

"Ohh, tu anak sulung bos. Safwan. Ramai jugak yang minat dia kat pejabat ni, Alia minat jugak ke?" katanya sambil tersengih.

Aku tergelak kecil, "Saya panggil dia Abang Thumbprint je selama ni. Nak tanya malu. Tapi tak tanya tak tahu pula nanti. Dah terkenan tu yang nekad nak tahu." Selorohku.

"Pehh! Dari mata turun ke hati la ni! Okay la tu, Alia. Safwan tu single lagi tau. Umur pun beza beberapa tahun je dengan Alia. Tapi sanggup ke hadap anak bos? Pejabat ni semua keluarga dia je. Safwan pun dah ada syarikat dah atas nama dia. Cukup pakej. Hahaha"

Aku senyum, tak jawab. Jurang yang agak jauh. Mungkin rasa minat ini sekadar mainan hati. Tapi entah kenapa, jantung aku susah untuk bertenang setiap kali melihat kelibat dia. Tapi mana mungkin aku boleh nak pikat dia, aku ni hanya budak praktikal.

Tanpa aku sedar, aku berharap satu hari nanti, pintu hatinya juga akan terbuka untuk aku.


Bab 4: Hati Tak Tahu Diam

 

Hari-hari berikutnya, wajah Safwan sering muncul di ruang fikiranku. Ada waktunya, hanya sekadar terlihat dia lalu di koridor pun sudah cukup untuk buat aku senyum sepanjang hari. Tapi aku tahu, perasaan ini tak boleh terlalu terlihat.

“Oi Alia, termenung nampak. Haaa… abang thumbprint lalu ke tadi?” usik Kak Fasha sambil menayangkan senyuman nakal.

Aku tersipu. “Mana ada… saya tengah fikir kerja tadi.”

“Kerja nama dia Safwan ke?”

Muka aku terus merah. Kak Fasha dan Kak Dayah langsung tak membantu. Setiap kali mereka nampak aku gelabah, makin galak pula mereka menyakat.

Satu hari, semasa waktu makan tengah hari, aku terserempak dengan Safwan di kantin pejabat. Dia duduk bersendirian di satu meja. Aku pandang dulang di tanganku, kemudian pandang sekeliling. Meja lain semua penuh.

Nak duduk sekali ke tak? Aduh, tolonglah Alia, tolonglah jangan drama sangat… Tapi, bila lagi nak cuba?

“Boleh saya duduk sini?” Aku memberanikan diri bersuara.

Safwan angkat wajahnya dan tersenyum. “Silakan.”

Jantung aku? Berlari macam litar Sepang.

Kami mula berbual, dan dari situ aku tahu, dia taklah sebeku yang aku sangkakan. Ada sisi lembut yang buat aku rasa… makin susah nak padam perasaan.

Dan sejak itu, aku mula percaya...

Mungkin abang thumbprint bukan sekadar bayang di hati.

Mungkin, dia juga sedang membaca degup yang sama.


Bab 5: Cerita Kita Bermula?


Hari berganti minggu. Hubungan aku dan Safwan jadi semakin mesra walaupun masih dalam lingkungan profesional. Tapi, aku tahu dalam hati—aku semakin suka dia. Bila Safwan sesekali menyapa aku walau hanya dengan, "Alia, okay tak kerja harini?", boleh buatkan aku tersenyum seharian. Indah belaka rasa ini.

Satu hari, selepas mesyuarat mingguan jabatan, aku turun ke pantri untuk buat air. Safwan pun ada di situ.

"Alia, rajin betul ya awak termenung ya?”tegurnya sambil tersenyum manis. 

Aku tergamam. Dia perasan? Hati aku dah rasa macam nak terkeluar.

"Hahaa… biasalah. Saya ni budak praktikal, banyak belajar benda baru. Kadang-kadang banyak fikir."

"Fikir apa tu sebenarnya? Kerja ke… atau orang?" matanya tepat menembusi anak mata aku.

Aku gelabah. "Ermm… dua-dua kot."

Dia tersenyum. "Kalau orang tu, harap-harap orang tu tahu dia tengah difikirkan."

Safwan, kau main ayat macam tu dengan aku sekarang? Apa maksud semua ni? Aku keliru. Tapi juga… gembira. Adakah ini petanda bahawa dia sebenarnya tahu yang aku memendam perasaan pada dia? 

“Alia?” panggilnya.

“ Saya nak nombor telefon awak boleh?” sambungnya.

Aku mengganguk malu. 

Malam itu sedang aku ralit menonton televisyen, tiba-tiba telefonku berbunyi menandakan notifikasi masuk. Nama Safwan terpapar di skrin. Secara automatik, hatiku berdebar kencang. Seperti ada rama-rama terbang disetiap pelosok ruang perutku. Aku buka pesanan sambik tersenyum sendirian.

“Terima kasih untuk harini. Saya seronok dapat berbual dengan awak. Rasa dekat. Haha Saya mengganggu awak ke malam ni?”

Berbunga rasa hati ini. Tidak menunggu lama, aku menekan papan kekunci yang telefonku. 

"Langsung tak ganggu. Saya seronok juga dapat berbual dengan awak.”

Degup jantung aku waktu itu… tak mampu aku gambarkan. Malam itu, aku tidur lena. 

Mungkin, inilah permulaan cerita kita.


Bab 6: Bila Hati Mula Berharap


Hari-hari terasa lebih ringan. Ada semangat baru yang hadir, walaupun aku cuba sebaik mungkin untuk tidak berharap lebih. Tapi hati ini... hati ini bukan batu. Ia punya degup yang makin kuat.

Setiap kali Safwan lalu di meja aku, dia pasti menyapa.

Kadang-kadang cuma, "Dah makan ke?"

Atau, "Nanti jangan lupa submit report hari ni."

Perkara kecil, tapi cukup besar buat hati aku.

Namun, aku tahu aku perlu beringat. Praktikal aku hanya tiga bulan. Aku bukan sesiapa dalam hidup dia. Dia anak bos. Aku cuma pelajar intern. Jurang tu terlalu luas.

Satu petang, ketika aku dan Safwan bertugas bersama untuk audit dalaman syarikat, kami duduk semeja menyemak dokumen. Diam antara kami sangat selesa.

“Lepas habis praktikal ni, Alis ada plan sambung belajar ke?” soalnya tiba-tiba.

Aku angguk. “Insya-Allah. Saya target nak ambil degree, kerja sekejap, kumpul duit. Doakan saya ya.”

“Insya-Allah. Saya doakan Alia berjaya. Saya perhatikan Alia ni rajin. Dan...” dia senyum. “Saya selesa bila kerja sama-sama.”

Aku hanya mampu senyum. Tapi dalam hati... mekar bunga-bunga harapan.


Bab 7: Masa dan Takdir


Sebulan terakhir semakin mencabar. Hati aku makin berat untuk tinggalkan pejabat ini. Mungkin bukan pejabat atau orang sekeliling. Mungkin orangnya. Orang yang berjaya membuat hati ni berdegup pantas.

Aku dan Safwan mula kurang bercakap. Dia kesibukan. Aku pula... mula belajar untuk reda. Aku tak pernah ucapkan apa-apa secara jelas. Tapi aku yakin dia tahu.

Beberapa hari sebelum hari terakhir, aku terima mesej daripada dia:

"Alia, boleh kita jumpa kejap kat pantri nanti?"

Di pantri, aku berdiri berdepan dengan dia. Nafas aku tidak teratur. Ada perasan yang sukar untuk aku gambarkan waktu itu. Dengan tenang aku menunggu untuk mulakan perbualan. 

"Saya tahu Alia akan habis praktikal minggu ni. Saya cuma nak ucap terima kasih. Sebab buat hari-hari saya bahagia dan lebih bermakna."

Aku senyum, tapi mata aku berkaca.

"Sama-sama, Safwan. Saya pun nak ucap terima kasih. Awak buat saya rasa dihargai, walaupun saya cuma pelajar praktikal."

Dia senyum. "Lepas ni kita mungkin tak jumpa selalu. Tapi kalau ada rezeki, saya harap... kita boleh jumpa lagi."

Aku angguk. Dalam hati aku berbisik, Ya Allah, jika dia bukan untukku, tenangkanlah hatiku. Tapi jika dia benar jodohku, dekatkanlah hatiku dengannya. Kau satukanlah kami dalam satu ikatan yang kau redhai. 


Epilog: Selepas Tiga Tahun

Aku kini bekerja sepenuh masa di sebuah bank terkemuka di pusat bandar. Alhamdulillah, aku dah berjaya menamatkan pengajian dan mula mengatur kehidupan.

Hari ini, aku terima mesej daripada nombor yang pernah buat jantung aku berdegup laju suatu masa dahulu.

"Assalamualaikum Alia. Safwan ni. Saya jumpa kad praktikal Alia dalam fail lama. Rindu zaman tu. Saya masih ingat janji saya. Boleh kita jumpa, kalau hati Alia masih belum berpunya?"

Aku tersenyum. Tiga tahun tak lama kalau hati masih sama.

Dan dalam diam, aku tahu...

...Abang Thumbprint masih ada tempat dalam hati ini. Dan kali ini, bukan sekadar thumbprint — tapi cap jari kami berdua, tanda bermulanya sebuah perjanjian hati yang kekal. 

 


No comments:

Post a Comment